Pada zaman dahulu terdapat sebuah tasik
yang sangat indah. Airnya sungguh jernih dan di dalamnya ditumbuhi oleh
pokok-pokok teratai yang berbunga sepanjang masa. Suasana di sekitar tasik
tersebut sungguh indah. Pokok-pokok yang tumbuh di sekitarnya hidup dengan
subur. Banyak burung yang tinggal di kawasan sekitar tasik tersebut. Salah
seekornya adalah burung bangau. Manakala di dalam tasih hidup bermacam-macam
ikan dan haiwan lain. Ada ikan telapia sepat, kelah, keli, haruan dan
bermacam-macam ikan lagi. Selain daripada ikan,terdapat juga ketam dan katak
yang turut menghuni tasih tersebut.
Burung bangau sangat suka tinggal di
kawasan tasik tersebut kerana ia senang mencari makan. Ikan-ikan kecil di tasik
tersebut sangat jinak dan mudah ditangkap. Setiap hari burung bangau sentiasa
menunggu di tepi tasik untuk menagkap ikan yang datang berhampiran dengannya.
Beberapa tahun kemudian burung bangau
semakin tua. Ia tidak lagi sekuat dulu untuk menangkap ikan. Kadang- kadang ia
tidak memperolehi ikan untuk dimakan menyebabkan ia berlapar seharian. Ia
berfikir di dalam hatinya seraya berkata "Kalau beginilah keadaanya, aku
akan mati kelaparan kerana tidak lagi berdaya untuk menangkap ikan. Aku mesti
mencari jalan supaya aku dapat memperolehi makanan dengan mudah".
Burung bangau mendapat idea dan
berpura-pura duduk termenung dengan perasan sedih di tebing tasik. Seekor katak
yang kebetulan berada di situ ternampak bangau yang sangat murung dan sedih
lalu bertanya "Kenapakah aku lihat akhir-akhir ini kamu asik termenung dan
bersedih sahaja wahai bangau?". Bangau menjawab, "Aku sedang
memikirkan keadaan nasib kita dan semua penghuni tasih ini." "Apa
yang merunsingkan kamu, sedangkan kita hidup di sini sudah sekian lama tidak
menghadapi sebarang masalah." Jawab katak. "Awak manalah tahu, aku
sering terbang ke sana ke mari dan mendengar manusia sedang berbincang tentang
bencana kemarau yang akan menimpa kawasan ini dalam beberapa bulan lagi. Kau
lihat sajalah sejak akhir-akhir ini hari panas semacam aje, hujan pun sudah lama
tidak turun". Bangau menyambung lagi "Aku khuatir tasik ini akan
kering dan semua penghuni di tasik ini akan mati." Katak mengangguk-
ngangukkan kepalanya sebagai tanda bersetuju dengan hujah bangau tadi. Tanpa
membuang masa katak terus melompat ke dalam tasik untuk memaklumkan kepada
kawan-kawan yang lain.
Berita bencana kemarau telah tersebar ke
seluruh tasih begitu cepat dan semua penghuni tasik berkumpul ditebing sungai
dimana bangau berada. Masing-masing riuh rendah menanyakan bangau akan berita
tersebut. Seekor ikan haruan bertanya kepada bangau "Apakah cadangan
engkau untuk membantu kami semua?" Burung bangau berkata "Aku ada
satu cadangan, tetapi aku khuatir kamu semua tidak bersetuju."
"Apakah cadangan tersebut" kata haruan seolah-olah tidak sabar lagi
mendengarnya. Bangau berkata " Tidak jauh dari sini ada sebuah tasik yang
besar dan airnya dalam, aku percaya tasik tersebut tidak akan kering walaupun
berlaku kemarau yang panjang." "Bolehkah engkau membawa kami ke
sana" sampuk ketam yang berada di situ. "Aku boleh membawa kamu
seekor demi seekor kerana aku sudah tua dan tidak berdaya membawa kamu lebih
daripada itu" kata burung bangau lagi.. Mereka pun bersetuju dengan
cadangan burung bangau.
Burung bangau mula mengangkut seekor demi
seekor ikan daripada tasik tersebut, tetapi ikan-ikan tersebut tidak
dipindahkan ke tasik yang dikatakannya.Malahan ia membawa ikan-ikan tersebut ke
batu besar yang berhampiran dengan tasik dan dimakannya dengan lahap sekali
kerana ia sudah tidak makan selama beberapa hari. Setelah ikan yang dibawanya
dimakan habis, ia terbang lagi untuk mengangkut ikan yang lain. Begitulah
perbuatanya sehingga sampai kepada giliran ketam. Oleh kerana ketam mempunyai
sepit ia hanya bergantung pada leher burung bangau dengan menggunakan sepitnya.
Apabila hampir sampai ke kawasan batu besar tersebut,ketam memandang ke
bawah dan melihat tulang-tulang ikan bersepah di atas batu besar. Melihat
keadaan tersebut ketam berasa cemas dan berfikir di dalam hatinya "Matilah
aku kali ini dimakan oleh bangau." Lalu ia memikirkan sesuatu untuk
menyelamatkan dirinya daripada ratahan bangau yang rakus.
Setelah tiba di atas batu besar ketam
masih lagi berpegang pada leher bangau sambil berkata "Dimanakah tasik
yang engkau katakan itu dan kenapa engakau membawa aku di sini?" Bangau
pun tergelak dengan terbahak-bahak lalu berkata "Kali ini telah tiba
masanya engkau menjadi rezeki aku." Dengan perasaan marah ketam menyepit
leher bangau dengan lebih kuat lagi menyebabkan bangau sukar untuk bernafas,
sambil merayu minta di lepaskan, ia berjanji akan menghantar ketam kembali ke
tasik tersebut. Ketam tidak mempedulikan rayuan bangau malah ia menyepit lebih
kuat lagi sehingga leher bangau terputus dua dan bangau mati di situ jua.
Dengan perasaan gembira kerana terselamat
daripada menjadi makanan bangau ia bergerak perlahan-lahan menuju ke tasik
sambil membawa kepala bangau. Apabila tiba di tasik, kawan-kawannya masih
lagi setia menunggu giliran masing-masing. Setelah melihat ketam sudah
kembali dengan membawa kepala bangau mereka kehairanan dan ketam menceritakan
kisah yang berlaku. Semua binatang di tasik tersebut berasa gembira kerana
mereka terselamat daripada menjadi makanan burung bangau yang tamak dan
mementingkan diri sendiri. Mereka mengucakpan terima kasih kepada ketam
kerana telah menyelamatkan mereka semua.
No comments:
Post a Comment