1.0 KESUSASTERAAN
MELAYU
Menurut Mohd Sharifudin Hj Yusop dan Mohd Lani Sabi (1998),
kesusasteraan merupakan media untuk mengungkapkan pengetahuan. Perkara ini
menyebabkan kesusasteraan dilihat sebagai cabang seni yang dituntut untuk
memberi kepuasan intelek di samping kepuasan estetik. Kesusasteraan dikatakan
lahir daripada dua suku kata, iaitu ‘sas’dan ‘tra’. Menurut Baharuddin Zainal (1975),
karya sastera membicarakan apa yang berlaku dalam sesuatu masyarakat.
Menurutnya, ‘sas’ bermaksud mengarahkan, mengajar atau memberi petunjuk. ‘Tra’
pula bermaksud alat atau saran seni. ‘Sastra’ pula bermaksud alat untuk
mengajar, ataupun buku petunjuk. Dalam pengkajian bahasa melayu pula,
kesusasteraan dikaitkan dengan asal usul. Perkataan sastera berasal daripada
bahasa sanskrit, iaitu ‘syastera’ yang bermaksud kitab suci. Daripada kata
‘syastera’ ia berkembang menjadi ‘susastera’ yang bermaksud seni sastera atau
seni bahasa atau persuratan. Imbuhan ‘ke’ dan ‘an’ pada kata tersebut membentuk
kata ‘kesusasteraan’ menyimpulkan makna terdekat, iaitu kesenian persuratan
yang bersifat halus dan indah.
Kesusasteraan
melayu dapat didefinisikan sebagai karya ciptaan masyarakat melayu yang
menyatakan pengalaman dan perasaan masyarakat melayu pada sesuatu zaman. Karya
tersebut biasanya mengandungi gambaran nilai hidup masyarakat melayu pada
ketika itu. Perkembangan karya kesusasteraan melayu adalah mengikut tahap-tahap
tertentu dan tahap-tahap itu berubah mengikut perubahan zaman. Karya-karya
biasanya dihasilkan mengikut perspektif zaman dan pengaruh-pengaruh tertentu
yang terdapat di dalamnya, di samping menghayati bentuk dan nilai seninya yang wujud.
Seterusnya, bentuk seninya itu dikaitkan dengan sejarah sesebuah masyarakat
atau biodata penulisnya.
Pada umumnya,
kesusasteraan melayu terbahagi kepada dua tahap, iaitu kesusasteraan melayu
tradisional dan kesusasteraan melayu moden yang setiap satu dapat ditandai oleh
ciri-ciri dan sifat-sifat yang tertentu. Kesusasteraan melayu tradisional lahir
sebelum masyarakat melayu mengenal huruf dan kemudiannya diikuti zaman Hindu
dan Islam. Kesusasteraan melayu tradisional terbahagi kepada dua bentuk, iaitu
prosa dan puisi dan setiap satunya dibahagikan kepada dua jenis, iaitu lisan
dan tulisan. Hasil kesusasteraan melayu disampaikan dalam bentuk lisan
menyebabkan banyak unsur tokok tambah berlaku pada karya tersebut. Karya ini
lebih dikenali sebagai sastera rakyat. Terdapat dua bentuk sastera rakyat,
iaitu berbentuk cerita (naratif) seperti cerita mitos dan cerita lagenda dan
bukan naratif seperti pantun, peribahasa dan teromba. Hasil kesusasteraan
berbentuk tulisan pula terdiri daripada sastera epik, sastera agama dan
sebagainya.
Kesusasteraan
melayu moden ditandai dengan kedatangan penjajah barat ke alam melayu.
Kesusasteraan melayu moden dibahagikan kepada beberapa jenis seperti novel,
cerpen, drama dan seumpamanya. Kesusasteraan ini lahir kesan daripada
penjajahan barat yang banyak memberi ilham kepada penulis pada masa itu. Hal
ini demikian kerana, penjajah barat banyak membawa nilai baru dan moden
sekaligus mewujudkan puisi dan prosa.
2.0 KESUSASTERAAN
MELAYU TRADISIONAL
Kesusasteraan Melayu Tradisional dapat dibahagikan kepada dua
kategori utama, iaitu:
i. Prosa Melayu Tradisional
ii. Puisi Melayu Tradisional
2.1 PROSA MELAYU
TRADISIONAL
Prosa boleh didefinisikan sebagai satu bentuk karangan yang
panjang. Prosa tidak terbatas kepada cerita sahaja tetapi termasuk juga
karya-karya yang bukan cerita. Oleh itu, karya-karya kesusasteraan Melayu yang
panjang sama ada lisan atau tulisan dikelompokkan sebagai prosa. Syarat utama ia
boleh dikatakan sebagai kesusasteraan Melayu ialah penggunaan bahasa Melayu
sebagai alat penyampaian dalam karya-karya tersebut merangkumi seluruh
nusantara. Prosa tradisional dalam kesusasteraan Melayu dapat dibahagikan
kepada dua jenis, iaitu naratif dan bukan naratif.
Prosa tradisional
berbentuk naratif dapat dikelompokkan kepada dua kelompok utama, iaitu naratif
lisan dan naratif tulisan. Naratif lisan dapat dibahagikan kepada tiga genre
yang utama, iaitu mitos, lagenda dan cerita rakyat. Manakala, naratif tulisan
pula dapat dibahagikan kepada lima genre, iaitu sastera hikayat, sastera
sejarah, sastera panji, sastera kepahlawanan dan sastera agama. Seterusnya,
prosa tradisional berbentuk bukan naratif terdiri daripada empat genre, iaitu
sastera undang-undang, sastera agama, sastera kitab dan sastera ketatanegaraan.
2.2 PROSA MELAYU
TRADISIONAL NARATIF
Prosa tradisional berbentuk naratif bermaksud karangan yang isinya
menceritakan sesuatu peristiwa atau kejadian dengan tujuan agar pembaca
seolah-olah mengalami kejadian yang yang diceritakan. Ianya dapat dibahagikan
kepada dua kategori, iaitu:
i.
Naratif
lisan
ii.
Naratif
tulisan
i. Naratif lisan
1. Cerita Rakyat
Cerita rakyat merupakan cerita-cerita yang disampaikan dalam satu
kelompok masyarakat pada zaman dahulu. Cerita ini disampaikan secara turun
temurun, dari satu generasi ke generasi yang lain. Cerita ini sudah menjadi
warisan dalam kelompok tersebut. Cerita rakyat ini biasanya disampaikan oleh
orang yang lebih tua seperti datuk, nenek, ibu bapa atau ketua masyarakat.
Cerita rakyat biasanya mengisahkan tentang sesuatu tempat atau asal usul
sesuatu tempat tersebut.
Antara ciri cerita rakyat ialah cerita rakyat ini disampaikan
secara turun temurun dan tiada pengarang. Cerita jenis ini kaya dengan nilai
dan pengajaran. Hal ini kerana hasil-hasil sastera lisan adalah bersifat
didaktik, iaitu mengandungi unsur pengajaran
dan pendidikan moral kepada masyarakat tradisi.Cerita-cerita lisan ini terselit
nasihat, pengajaran, teladan, yang sangat bergunasebagai panduan ke arah
kesejahteraan hidup masyarakat. Misalnya anak-anak dinasihati agar tidak
mengamalkan sifat tamak, takbur, sombong dan bongkak seperti mana yang terdapat
pada sifat-sifat tertentu binatang dalam cerita-cerita Binatang.
Melalui cerita-cerita seperti “Si Tanggang” anak-anak dididik agar
tidak derhaka kepada kedua-dua orang tua kerana anak yang derhaka tidak akan
selamat hidup di dunia dan akhirat. Begitu juga dalam cerita-cerita
roman,ditonjolkan sifat kesetiaan kepada pemimpin, sikap dan amalan
gotong-royong,kerjasama dan tolong menolong yang banyak membawa manfaat dan
keberkatan terutama dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni.
Selain itu, cerita rakyat ini bersifat tradisional, terdapat dalam
pelbagai versi, lebih-lebih lagi bagi karya yang dikomersialkan dan dikongsi
dengan masyarakat luar, contohnya Kisah Anjing dengan Bayang-bayang.
Terdapat pelbagai fungsi cerita rakyat ini, seperti bertindak
sebagai hiburan kepada masyarakat pada zaman dahulu, medium untuk memberi dan
menyampaikan nasihat dan sebagai adat atau pantang larang.
Sesetengah kata-kata adat dan bidalan dianggap sebagai satu kemestian
undang-undang atau peraturan masyarakat yang perlu dipatuhi. Malah kata-kata
tersebut menjadi “pantang larang” dalam masyarakat. Ia juga bertindak sebagai medium untuk
berkongsi ilmu.
Cerita rakyat ini juga bertindak sebagai alat perhubungan atau
komunikasi seperti menyampaikan hajat. Misalnya dalam adat perkahwinan,
orang-orang Melayu menggunakan pantun sewaktu berkomunikasi, antara wakil pihak
pengantin lelaki dengan pihak pengantin perempuan. Pantun digunakan sewaktu
adat merisik berlangsung adat meminang dan ketika majlis persandingan.
Selain itu, ia juga berfungsi sebagai alat untuk mengkritik. Cerita-cerita lisan juga
digunakan sebagai saluran untuk membuat kritikan atau sindiran terhadap raja
atau orang-orang bangsawan. Misalnya melalui cerita-cerita jenaka seperti
cerita Pak Kaduk,jelas menyindirkan golongan berkuasa (raja) yang bersikap
zalim, tamak dan mementingkan kuasa dengan mengenepikan kesejahteraan hidup
rakyat jelata. Cerita Lebai Malang, terselit unsur-unsur sindiran terhadap orang
yang tamak,kedekut,gilakan kuasa dan orang-orang yang sering mengambil
kesempatan atas diri orang yang lemah semata-mata untuk kepentingan nafsu dan
kekayaan diri sendiri.
2. Mitos
Mitos adalah cerita rakyat yang tokohnya kebanyakannya terdiri daripada
makhluk setengah dewa mahu pun dewa. Kesemua watak ini wujud di dunia lain atau
kayangan dan amat dipercayai dan benar-benar terjadi oleh penganutnya. Mitos
juga merupakan cerita tentang dewa, orang atau makhluk luar biasa pada zaman
dahulu yang mempunyai kuasa dan dipercayai oleh masyarakat pada zaman tersebut.
Ia dianggap sakral atau suci.
Bagi masyarakat
Melayu tradisional, cerita mitos ini mulia dan berlawanan dengan sifat duniawi.
Cerita mitos ini mengenai dewa-dewi dari kayangan dan mempunyai kaitan dengan
unsur keagamaan, bersifat suci dan kudus. Terlalu banyak pantang larang yang
perlu dipatuhi dan diikuti dalam mematuhi cerita mitos. Jikalau masyarakat
menuruti segala pantang, maka kesenangan dan kebaikan akan diperoleh, begitulah
sebaliknya.
Antara fungsi cerita mitos adalah untuk menerangkan perasaan ingin
tahu manusia terhadap kejadian alam yang tidak dapat dijawab dengan akal
fikiran manusia pada ketika itu.
Ia juga menghubungkan manusia dengan kuasa yang agung selain
bertindak sebagai alat kawalan sosial, alat pendidikan, pengajaran dan contoh
teladan serta hiburan. Ia juga menggambarkan kemuliaan raja (Sejarah Melayu,
Hikayat Si Miskin, Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Merong Mahawangsa) selain
bertindak sebagai alat menyindir sikap raja yang zalim dan buruk tingkah
lakunya.
3. Legenda
Legenda merupakan prosa rakyat yang benar-benar terjadi di sesuatu
tempat. Ia disampaikan melalui lisan dari satu generasi ke satu generasi yang
lain. Legenda juga sering dikaitkan dengan sejarah (folk history).
Pengkaji sastera rakyat kontemporari telah menggolongkan legenda sebagai salah
satu genre cerita rakyat dalam bentuk tradisi lisan yang wujud dalam mana-mana
masyarakat atau budaya. Beberapa definisi telah dikemukakan oleh ahli
antropologi budaya tentang pengertian legenda. Mohd Khalid Taib (1991: 261)
mendefinisikan legenda seperti berikut:
“Legenda ialah sebuah pernyataan yang selalunya bercorak cerita,
yang berlatarkan masa atau sejarah yang masih boleh diingat oleh masyarakat
berkenaan; yang mungkin menghubungkan pengalaman masa lampau dengan yang
kekinian. Legenda dipercayai benar oleh penyampainya dan oleh mereka yang
menerima penyampaian cerita itu, terutama sekali apabila wujud tanda-tanda di
muka bumi yang seolah-olah mensahihkan sesuatu cerita legenda itu.”
Harun Mat Piah dalam buku berjudul Sastera Rakyat Malaysia,
Indonesia, Negara Brunei Darussalam: Suatu Perbandingan pula mengemukakan
takrifan lebih terperinci terhadap pengertian legenda.
Selain memberi definisi khusus, beliau turut membuat perbandingan
yang jelas antara legenda dengan mitos, iaitu :
“Legenda
ialah cerita yang serius, dipercayai sebagai benar dan juga mengandungi
ciri-ciri luarbiasa, misteri dan mitikal seperti mitos, tetapi masih berbeza
dengan mitos. Legenda boleh bersifat sakral atau profan, boleh membicarakan
tokoh-tokoh suci, juga tokoh-tokoh sekular, makhluk ghaib atau manusia biasa,
boleh berlaku pada masa lalu tetapi tidak terlalu silam seperti mitos, atau
masa kini, malah berterusan ke masa depan. Berbanding dengan mitos, legenda
bersifat terbuka (opened-ended). Latar legenda berbeza daripada mitos, berlaku
dalam ruang geografi yang dapat dirujuk dan peristiwanya bergerak atas garis
masa yang objektif. Berbeza juga daripada mitos, legenda lebih mendekati karya
sejarah dari segi fakta dan bersifat objektif. Namun, tidak sama dengan sejarah
kerana legenda sering dianggap sebagai sejarah semu, kerana kebanyakan faktanya
dimanipulasi dan diselewengkan. Berdasarkan ciri-ciri tersebut, legenda
nampaknya dapat menyesuaikan dirinya dengan latar kontemporari.”
Perbezaan pandangan oleh sarjana tempatan terhadap definisi legenda
hanyalah bersifat isu dipermukaan kerana apa yang lebih utama adalah isu yang
menjadi dasar perbincangan. Pandangan yang dikemukakan oleh Mohd Khalid Taib
dan Harun Mat Piah memperlihatkan keterbukaan bentuk legenda itu sendiri yang
bersifat genetik kerana dapat menjanakan pelbagai sublegenda. Daripada legenda
ketokohan (ulama, pemimpin, pahlawan, pendosa), legenda keramat, legenda
tentang makhluk halus, legenda tempat, etiologikal dan jenis-jenis yang lain.
Low Kok On (2001:9) dalam tesis sarjana bertajuk Citra Wira Rakyat
dalam Legenda Mat Salleh telah mengklasifikasikan legenda kepada beberapa
bentuk iaitu:
i.
Legenda
Etiologikal (Cerita Asal Usul)
ii.
Legenda
Pendosa
iii.
Legenda
Orang Terkenal
iv.
Legenda
Keramat
v.
Menora
Cerita Hantu
Ternyata kategori yang disenaraikan merangkumi hal-hal berkaitan
dengan alam, manusia dan makhluk bukan manusia. Kesemuanya menampakkan
kelebihan dan keajaiban yang mengelilingi tokoh-tokoh tersebut. Tidak dapat
dinafikan bahawa cerita legenda sering dilingkari oleh unsur luarbiasa dalam
jalinan penceritaannya. Unsur tersebut menjadikan cerita legenda itu lebih
menarik kerana kelainan yang dipaparkan.
ii. Naratif Tulisan
1. Sastera Hikayat
Sastera hikayat ialah cerita-cerita dalam bentuk bertulis yang
menggunakan bahasa Melayu lama dengan langgam bahasa dan struktur tertentu
serta membawa cerita ajaib yang berunsur hiburan. Sastera hikayat dibahagikan
kepada tiga bahagian yang merangkumi hikayat berunsur Hindu, berunsur campuran
Hindu dan Islam serta hikayat berunsur Islam. Hikayat berunsur Hindu ialah
sastera yang menerima secara kuat pengaruh Hindu terutamanya dari Hikayat
Ramayana dan Hikayat Mahabrata. Contoh karya berunsur Hindu ialah Hikayat Seri
Rama dan Hikayat Pendawa Lima. Manakala, hikayat yang mempunyai unsur-unsur
Hindu dan juga unsur-unsur Islam pula ialah Hikayat Ahmad Muhammad dan Hikayat
Si Miskin. Seterusnya, hikayat berunsur islam pula terdiri daripada Hikayat
1001 Malam dan Hikayat Abu Nawas.
2. Sastera Sejarah
Sastera Sejarah adalah suatu bentuk penulisan yang menggabungkan
unsur-unsur penulisan sejarah dengan unsur-unsur penulisan bukan sejarah atau
sastera. Kedua-dua unsur tersebut diolah
dengan indah oleh pengarang istana Melayu untuk menggambarkan konsep sejarah
zaman silam masyarakat Melayu. Oleh itu, karya sastera sejarah bukanlah karya
sastera sepenuhnya sebaliknya mengandungi unsur-unsur peristiwa sejarah yang
benar-benar berlaku pada zaman lampau. Antara contoh karya sastera sejarah
ialah Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Acheh, Hikayat Kelantan, Misa
Melayu Hikayat Merong Mahawangsa, Salasilah Melayu Bugis, Tuhfat Al Nafis dan
lain-lain.
3. Sastera Panji
Sastera panji adalah cerita berbentuk hikayat yang berkisar tentang
percintaan, pengembaraan, penyamaran dan peperangan watak-wataknya. Ianya
berasal dari Jawa dan dicipta semasa keagungan empayar Majapahit. Watak-watak
yang terlibat kebiasaannya terdiri daripada putera dan puteri raja Majapahit.
Watak utamanya ialah putera Ratu Kuripan yang bernama Raden Inu Kertapati dan
watak wirawatinya ialah puteri Ratu Daha yang bernama Raden Galuh Cendera
Kirana.
4. Sastera Epik
Sastera epik dikenali sebagai sastera pahlawan. Karya-karya sastera
epik ialah sebuah epik yang mana unsur-unsur di dalamnya merupakan kisah-kisah
keberanian dan kepahlawanan tokoh-tokoh wira manusia termahsyur. Menurut Koster
(1995), epik kepahlawanan ialah suatu naratif tentang perbuatan agung dan
gemilang yang dilakukan oleh pahlawan-pahlawan pada suatu masa dahulu. Tambahan
beliau, epik kepahlawanan disampaikan secara lisan oleh pencerita ataupun
disampaikan secara bertulis tetapi seolah-olah disampaikan oleh pencerita
lisan. Selain itu, peranan dewa-dewa juga diselitkan dalam sastera ini.
2.3 PROSA MELAYU
TRADISIONAL BUKAN NARATIF
Prosa tradisional bukan naratif bermaksud karya prosa yang
menggunakan bahasa Melayu lama tetapi kadar naratifnya amat sedikit.
1. Sastera
Undang-Undang
Undang-undang ialah keseluruhan peraturan yang digubal oleh
kerajaan dan mesti dipatuhi oleh masyarakat yang berkenaan Sastera
undang-undang pada mulanya berbentuk lisan. Isinya digubal dan disusun oleh
pembesar dengan persetujuan raja. Teksnya hanya ditulis sesudah tulisan Jawi
yang sistematik terhasil. Oleh sebab itu, undang-undang Melayu lama merupakan
satu lagi genre selain historiografi yang mengesahkan kekuasaan dan kedudukan
raja. Raja berkuasa penuh sama ada melaksanakan peraturan yang ditetap ataupun
mengetepikannya. Peraturan tersebut merupakan adat resam yang dipusakai secara
turun-temurun.
Antara karya yang
tergolong dalam genre sastera ini ialah Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Laut
Melaka, Hukum Kanun Johor dan Undang-Undang Kedah. Undang-undang Melayu lama
dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu:
i.
Adat
perpatih yang digunakan di Negeri Sembilan dan Alor Gajah, Melaka.
ii.
Adat
Temenggung yang meliputi hukuman-hukuman jenayah, undang-undang laut serta
pelabuhan yang terletak di bawah pentadbiran raja-raja Melayu.
iii.
Undang-undang
Islam yang didasarkan kepada hukum fikah Mazhab Syafie tentang nikah-kahwin,
cerai-talak dan pembahagian harta pusaka.
2. Sastera Agama
Sastera agama ialah hikayat yang bersumberkan Islam atau lagenda
Islam. Ianya mengandungi cerita-cerita Nabi Muhammad dan tokoh-tokoh Islam yang
terdapat dalam sejarah perkembangan Islam. Walau bagaimanapun, cerita tentang
tokoh-tokoh Islam dan kisah-kisah Nabi Muhammad yang berlatarkan sejarah Islam
telah diolah kembali dengan memasukkan unsur-unsur mitos dan lagenda.
Tokoh-tokoh Islam diperkenalkan bertujuan menggantikan tokoh-tokoh
kesusasteraan Hindu dalam kalangan rakyat jelata. Antara contoh hikayat
bersumberkan Islam ialah Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Ali Hanafiah,
Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nur Muhammad dan sebagainya.
3. Sastera Kitab
Sejak kedatangan Islam ke Nusantara, Kitab Jawi atau Kitab Kuning
telah dijadikan bahan pengajaran di dalam majlis-majlis mengaji kitab. Tradisi
itu berterusan sehingga kini di masjid dan surau. Kitab-kitab yang menjadi
bahan pengajaran dan pengajian terdiri daripada kitab ilmu fikah, ilmu tauhid,
ilmu tasawuf, ilmu tafsir, akhlak dan sirah Nabi. Kitab-kitab tersebut
digolongkan sebagai karya kesusasteraan kerana pengarangnya memasukkan
unsur-unsur sastera ke dalamnya. Antaranya ialah naratif, dialog, hiperbola,
simile, metafora dan personifikasi. Sejarah Melayu ada menceritakan sebuah
kitab agama yang berjudul “Al-Dur Al-Manzum”. Kitab ini telah dibawa oleh
Maulana Abu Bakar dari Makkah ke Melaka. Pokok pembicaraannya ialah mengenai
ilmu tasawuf. Sultan Mansur Syah telah menitahkan kitab ini dibawa ke Pasai
untuk diterjemah dan disalin ke dalam bahasa Melayu.
4. Sastera
Ketatanegaraan
Sastera ketatanegaraan bermaksud karya sastera yang mempunyai unsur
aturan, kaedah dan cara-cara yang penting dalam pemerintahan sesebuah kerajaan.
Genre ini membicarakan kewajipan raja dan para pembesar dalam menjalankan
pentadbiran negara. Oleh hal yang demikian, genre ini membicarakan
tanggungjawab raja, menteri, hulubalang dan rakyat. Oleh sebab itu, genre
tersebut dapat ditakrif sebagai karya yang mengetengahkan tatacara pentadbiran
negara yang perlu dijadikan panduan oleh raja dan pembesar.
Pada zaman Acheh,
terdapat dua buah karya yang berjudul Taj al-Salatin karangan Bukhari
al-Jauhari dan Bustanus Salatin karya Syeikh Nuruddin al-Raniri. Kedua-duanya
mencatatkan tanggungjawab pemerintah seperti raja, para pembesar dan
pegawai-pegawai lain. Selain itu, ianya turut menyatakan sejarah
kerajaan-kerajaan Islam di Asia Barat dan di Nusantara. Selebihnya ialah
mengenai hukum-hakam agama Islam. Di samping itu, terdapat sebuah lagi karya
yang tergolong dalam kategori ini, iaitu Kitab Nasihat Segala Raja-Raja. Kitab
ini telah dihasilkan oleh Sultan Zainal Abidin III yang memerintah kerajaan
Terengganu.
3.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, kesusasteraan Melayu yang mencakupi prosa dan puisi
ini mempunyai fungsi yang amat pelbagai kepada masyarakat. Kedua-dua buah jenis
kesusasteraan Melayu ini sarat dengan nilai dan pengajaran kepada masyarakat. Nilai
dan pengajaran ini menjadi panduan kepada golongan masyarakat, sama ada dari golongan pemerintah, mahupun
golongan yang diperintah. Kaedah atau teknik untuk menegur golongan pemerintah
juga menggunakan kesopanan dan kesantunan melalui karya-karya yang dihasilkan. Oleh
hal yang demikian, kesusasteraan Melayu ini mempunyai nilai estetika dan nilai
moral yang tinggi sejak kemunculannya sama ada melalui lisan mahupun tulisan.
No comments:
Post a Comment